KEKUATAN AKIDAH TERAS AKHLAK MAHMUDAH
Akidah berasal daripada perkataan bahasa Arab a-qa-da yang bermaksud ikatan. Dari segi istilah, akidah bermaksud keyakinan dan kepercayaan yang kukuh kepada Allah. Ia merupakan kepercayaan yang teguh dan mantap, dan keraguan padanya. Kepercayaan dan keyakinan ini haruslah dizahirkan melalui amal perbuatan. Manakala akhlak adalah kata jamak, berasal daripada perkataan Arab khulq yang memberi makna sifat dan perbuatan seseorang insan. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mendefinisikan akhlak sebagai suatu keadaan jiwa yang matang, daripadanya menghasilkan tindakan-tindakan yang spontan dan tidak memerlukan kepada renungan dan pemikiran yang mendalam. Melalui definisi ini, menurut al-Ghazali, terdapat dua aspek yang perlu dipertimbangkan apabila membicarakan tentang akhlak. Aspek pertama ialah jiwa atau nafs, dan aspek kedua ialah tindakan-tindakan luaran.Bagaimana kekuatan akidah Islamiyyah ini boleh menjadi teras dan tunjang kepada akhlak mahmudah?(1) Pertama, dengan kekuatan akidah, manusia mengetahui hala tuju, tujuan dan tugasnya di atas muka bumi ini. Allah telah menciptakan seluruh alam ini dan Dia tidak menciptakannya tanpa sebab dan tujuan. Begitu juga manusia yang diciptakan oleh Allah untuk menggalas dua tugas utama iaitu sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya di atas muka bumi ini.
Firman Allah: Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku. Allah berfirman lagi: Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya aku ingin menjadikan khalifah di atas muka bumi (al-Baqarah:30)Bersandarkan kepada dua tugas utama ini, maka manusia dapat mengetahui tugas dan tanggungjawabnya dengan jelas di atas muka bumi ini. Sebagai hamba Allah, kita sebagai manusia haruslah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ini mencakupi semua aspek termasuk akhlak. Allah telah menciptakan manusia atas tujuan dan sebab tertentu,
Oleh itu, Dia telah menyediakan hidayah dan petunjuk kepada manusia termasuklah menyediakan suatu sistem moral dan akhlak yang dapat dijadikan panduan oleh sekalian manusia. Manusia yang mempunyai asas dan kekuatan akidah yang teguh, percaya kepada Allah dan pembalasan-Nya di akhirat kelak pastinya akan mengikuti sistem moral dan akhlak yang telah disediakan oleh penciptanya. Namun sebaliknya, manusia yang tiada kekuatan akidah, tidak akan mengetahui tugas dan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan jelas. Mereka hanya akan menurut hawa nafsu, mencari hanya kesenangan di dunia dan hidup di atas muka bumi ini semata-mata menurut bisikan hatinya. Seperti Firman Allah dalam ayat suratun ANNAS ayat 5 dan 6 yang berbunyi,
Sebagai khalifah-Nya, manusia tidaklah sewenang-wenangnya boleh menggunakan hak keistimewaan ini tanpa berpandukan kepada panduan dan pedoman yang telah ditetapkan oleh Allah. Manusia yang mempunyai asas kekuatan akidah yang teguh, akan sentiasa mengingati bahawa setiap amal perbuatannya akan dihitung oleh Allah. Seperti mana dalam firman Allah dalam ayat 7 dan 8 surah ALZALZALLAH
Dia akan sentiasa menjaga baik hubungannya dengan Allah, hubungannya sesama manusia dan hubungannya dengan makhluk Allah yang lain. Menjaga baik hubungan-hubungan ini termasuklah berakhlak dengan akhlak mahmudah sesama insan, contohnya tolong-menolang, bertolak ansur dan saling menasihati. (2) Kekuatan akidah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan akhlak mahmudah. Seperti yang dinyatakan, terdapat dua aspek yang perlu dipertimbangkan apabila membicarakan tentang akhlak. Aspek pertama ialah jiwa atau nafs, dan aspek kedua ialah tindakan-tindakan luaran.Ibn Miskawayh, al-Tusi dan al-Ghazali meyakini bahawa terdapat hubung kait yang amat rapat di antara keadaan jiwa dan tindakan luaran atau perbuatan. Sekiranya keadaan jiwa itu tidak tenang, berserabut dan sakit, ia akan menghasilkan tindakan luaran yang janggal dan tidak bermoral. Sebaliknya jika jiwa seseorang itu tenang dan sihat, ia akan menghasilkan tindakan luaran yang sihat dan bermoral. Oleh itu jiwalah yang perlu dididik dengan sebaik-baiknya untuk mencapai hasil akhlak yang terpuji. Jadi, bagaimanakah jiwa ini perlu dididik? Didikan jiwa ini tentunya didikan akidah Islamiyyah yang dibawa oleh para rasul yang menjadi teras kepada akhlak mahmudah. Akidah yang teguh berperanan untuk menyucikan hati dan jiwa. Dengan kekuatan tawhid dan akidah, manusia akan merasa persamaan antara sesama manusia di hadapan Tuhan. Maka tidak akan timbul perasaan egoistik, riak dan tirani kerana semua manusia percaya bahawa kekuasaan mutlak hanyalah milik Allah semata-mata. Tanpa perasaan egois dan individualistik ini, akan lahir masyarakat yang berakhlak mulia dan bersatu padu serta hidup dalam keadaan damai dan harmoni. (3)Orang beriman yang mempunyai akidah yang mantap akan sentiasa mencontohi peribadi dan akhlak Rasulullah S.A.W. Firman Allah: Sesungguhnya Rasulullah itu menjadi contoh teladan yang baik bagi kamu. (al-Ahzab:21) Peribadi Rasulullah merupakan contoh teladan kepada sekalian umat manusia. Ini kerana sebagai nabi dan utusan Tuhan, baginda merupakan orang yang paling mengetahui tentang agama yang dibawanya iaitu Islam dan bagindalah yang paling sempurna dalam mengamalkan ajaran Islam. Maka sebagai umat baginda yang kasih kepadanya, seharusnya kita mencontohi peribadi dan akhlak yang dimiliki baginda. Kemulian dan keluhuran akhlak baginda tidak sahaja diakui oleh manusia sehingga baginda mendapat julukan al-Amin, tetapi Allah yang mengutusnya sendiri juga mengakui hal ini.
Firman Allah: Surah AL QALAM ayat 4 berbunyi:
Yang bermaksud:
Sesungguhnya engkau (hai Muhammad) memiliki budi pekerti yang luhur. (4)Kekuatan akidah dapat membataskan manusia daripada melakukan perbuatan yang dilarang Islam. Selain itu akidah yang mantap dapat mengelakkan diri manusia daripada mengikut hawa nafsu yang terus-terusan mengajak mereka berakhlak dengan akhlak mazmumah. Mereka yang mempunyai asas kekuatan akidah yang teguh akan sentiasa merasa dan menyakini bahawa Allah mengawasi gerak-geri mereka dan Dia tahu apa sahaja yang mereka lakukan sama ada secara terang-terangan ataupun di tempat yang tersembunyi daripada pandangan orang lain. Al-Maududi dalam bukunya Pandangan Akhlak Islam mengatakan bahawa teras kepada sistem moral Islam ialah Tawhid iaitu percaya kepada keesaan Allah. Apabila teras dan dasar akidah ini kukuh, ia sekaligus menjadikan manusia untuk lebih menghayati prinsip akhlak Islam yang dapat menjadi pedoman dan panduan hidup mereka di atas muka bumi ini. Sebaliknya, mereka yang tidak mempunyai asas akidah yang teguh akan terumbang-ambing kerana kehilangan arah dan panduan serta hanya menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Inilah yang terjadi kepada para remaja yang hanyut dan terbuai dengan kehidupan dan keseronokan duniawi sehingga mereka alpa dan lalai bahawa kehidupan di dunia ia hanyalah sementara cuma. (5) Dengan kekuatan akidah yang utuh, sistem moral atau ideologi luaran ciptaan manusia yang dikatakan mampu menjadi kayu ukur dan penentu kepada batas-batas moral dan akhlak seseorang individu atau sesebuah masyarakat secara automatisnya tertolak.Manusia yang mempunyai keyakinan akidah yang utuh, tidak akan sesekali terpengaruh dengan slogan anti-agama dan anti-wahyu yang dilaungkan oleh ideologi moden hari ini. Penolakan total terhadap agama dan wahyu akan menciptakan suatu dunia yang huru hara dan masyarakat yang hidup tanpa landasan undang-undng dan batasan. Berapa banyak ideologi dan falsafah moral yang telah dicipta oleh manusia telah dipinda-pinda dari masa ke masa mengikut citarasa, keadaan dan kehendak mereka. Tiada suatu sistem moral ciptaan manusia yang universal dan menepati kehendak dan kehidupan setiap individu. Ini kerana manusia menciptakan sesuatu berdasarkan tingkat akal mereka yang terbatas dan lebih malang lagi kebanyakannya pula menciptakan sesuatu menurut hawa nafsu dan kemahuan mereka demi kesenangan sendiri dan agenda tertentu. Namun sebaliknya sistem moral dan akhlak yang telah diciptakan oleh Tuhan yang menciptakan manusia adalah lengkap dan universal. Tuhan tidak akan meninggalkan manusia yang diciptanya terkapai-kapai tanpa pedoman dan arah tujuan. Maka sudah tentu Dia akan menyediakan suatu sistem moral dan akhlak yang menepati fitrah manusia itu sendiri. Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa kekuatan akidah merupakan teras akhlak mahmudah. Akhlak yang mulia merupakan jati diri kepada Islam. Ia merupakan roh yang mengalir dan boleh ditemui di segenap sudut pengajaran agama yang telah disempurnakan citra dan pembinaannya oleh Rasulullah S.A.W. Dalam konteks negara kita yang sedang berjuang untuk lahir sebagai sebuah negara maju bersandarkan modal insan yang cemerlang, kita perlu mengorak langkah sedaya upaya untuk kembali menghayati dengan setepatnya tradisi dan pengajaran agama dari segenap sudut terutama tunjang agama iaitu akidah. Adalah suatu yang cukup malang bagi kita, umat Islam, sekalipun kita menganuti agama yang jelas ditunjangi oleh nilai-nilai akhlak yang mulia, namun sebhagian besar daripada kita sedang terperangkap dalam kemelut keruntuhan akhlak. Ini suatu kegagalan yang menyedihkan seperti yang diungkap oleh al-Maududi, sebahagian besar umat Islam masa kini memilih untuk berjalan dalam kegelapan, walaupun mereka sebenarnya memiliki cahaya yang terang benderang yang tersedia dalam agama mereka. Wassalam.
Tulisan lia.
Monday, May 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
What do make money in horse racing? | Work-to-Earn
ReplyDeleteA money bet is a หาเงินออนไลน์ market based on odds offered by professional bettors. This means that you can win money without having to place a bet. To make