Monday, May 11, 2009

Minda Kelas Pertama

Saya ingin berkongsi pengalaman bagi para guru memahami dan merealisasikan konsep membentuk minda kelas pertama di kalangan para pelajar. Bahan-bahan yanga saya paparkan ini hanyalah sebagai pendapat peribadi sahaja.

Pengenalan

Dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK 9) teras kedua ialah meningkatkan keupayaan pengetahuan dan kreativiti dan inovasi (k-worker). Elemen pertama ialah memupuk minda kelas pertama , elemen kedua ialah modal insan termasuklah melahirkan insan yang intelek dan berkeperibadian. Elemen ketiga ialah penambahbaikan sistem pendidikan secara menyeluruh, elemen keempat ialah penyelidikan dan pembangunan (R&D) persekitaran dan elemen kelima ialah masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.. Oleh kerana memupuk minda kelas pertama adalah merupakan elemen pertama maka sewajarnyalah kita sebagai pendidik memainkan peranan penting bagi memastikan hasrat kerajaan ini mencapai matlamatnya. Dalam tempoh RMK 9, usaha akan dipergiat untuk membangunkan modal insan demi memacu transformasi negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan. Beberapa program dan projek telah dilaksana bagi mencapai keutamaan misi nasional, iaitu antaranya menambah baik sistem pendidikan, meningkatkan inovasi dan memastikan pembangunan modal insan yang menyeluruh termasuklah meningkatkan akses dan kualiti sistem pendidikan di seluruh peringkat. Pelancaran PIPP 2006-2010 merupakan tahun kritikal untuk mencapai kejayaan bagi memartabatkan pembangunan pendidikan di negara ini. Salah satu faktor terpenting bagi menjana kemajuan negara untuk melahirkan modal insan cemerlang minda kelas pertama ialah melalui sistem pendidikan.Modal insan merupakan aset negara yang terpenting bagi menghadapi perkembangan negara jiran, serantau, dan global.

Merujuk kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010
Teras 2: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta
memupuk `minda kelas pertama’
• Melaksanakan penambahbaikan secara komprehensif ke atas sistem penyampaian, pendidikan dan latihan;
• Memperkasakan sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia;
• Merapatkan jurang prestasi antara sekolah di luar bandar dengan sekolah di bandar;
• Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan berkualiti, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat di semua peringkat;
• Membina masyarakat yang inovatif dengan keupayaan Sains dan Teknologi (S&T) yang kukuh;
• Memperkukuh perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif dan sistem nilai yang boleh diteladani; dan
• Memperluas forum perbincangan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan
masyarakat dalam pembangunan modal insan.

Tugas golongan pendidik ialah untuk melaksanakan segala dasar kerajaan dan seterusnya memberi pendidikan yang terbaik kepada murid-murid. Kerajaan telah memberi peruntukan yang besar sebanyak RM23.2 bilion dalam bidang pendidikan, sudah tentulah ia mahu pulangan yang berrbaloi untuk membantu pembangunan negara.

Definasi dan Ciri-ciri Manusia yang mempunyai minda kelas pertama
Modal insan atau manusia adalah sumber yang paling penting dalam organisasi di samping sumber-sumber lain seperti mesin dan peralatan, kewangan dan prosedur kerja. Manusia adalah penggerak organisasi dan penentu kejayaan pencapaian visi, misi, objektif, matlamat dan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan.

Menurut kamus dewan edisi keempat, minda bermaksud akal fikiran atau daya berfikir dan definasi kelas pertama ialah tahap kesatu (yang terbaik) atau yang unggul. Dari maksud tersebut saya mendefinasikan minda kelas pertama membawa erti kebolehan untuk menggunakan akal fikiran bagi mengilhamkan sesuatu pemikiran baru atau kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan sesuatu yang baru atau mencipta sesuatu yang berguna kepada orang lain.

Melalui pembacaan, saya juga mendapati ada ramai para cerdik pandai yang membincangkan dan membahaskan pengertian “minda kelas pertama”. Di antara konsep atau ciri utama yang paling popular ialah merujuk kepada Misi Nasional dalam Perkhidmatan Awam yang mengariskan tiga teras utama minda kelas pertama iaitu ketangkasan kerja, ketepatan dan keberhasilan. Daripada tiga teras utama itu ia menghasilkan 35 faktor yang disenaraikan sebagai prasyarat atau ciri-ciri individu yang mempunyai minda kelas pertama dalam sesuatu organisasi. Untuk tujuan perbincangan kertas kerja ini saya akan memfokuskan ciri-ciri manusia yang mempunyai minda kelas pertama merujuk kepada pendapat Jim Canterucci di dalam bukunya yang bertajuk “Personal Brilliance : Mastering the Everyday habits that Create a Lifetime of Success”
Menurut Jim Canterucci (2005) manusia yang berminda kelas pertama ialah mereka yang sentiasa menjana mindanya melalui empat ciri utama, iaitu kesedaran kendiri, ingin tahu (curiosity), fokus dan inisiatif.
Merujuk kepada kamus dewan istilah kesedaran kendiri membawa maksud keinsafan yang wujud dari diri sendiri (self motivation) sementara ingin tahu pula bermaksud perasaan atau kehendak kepada sesuatu atau ingin mencuba sesuatu yang baru, inisiatif adalah suatu daya usaha ataupun sesuatu tindakan yang perlu dijalankan .Istilah fokus pula bermaksud tumpuan atau memberi perhatian atau sasaran perbincangan sementara istilah pendidik bermaksud seseorang yang mendidik, mengajar serta menyampaikan ilmu samada secara formal atau tidak formal. Pendidik juga dikenali sebagai guru. Anak didik adalah seseorang yang menerima, mempelajari, menggunakan ilmu yang diperolehi samada untuk dirinya atau untuk orang lain. Anak didik juga dikenali sebagai murid atau pelajar. Memupuk pula membawa maksud menerap atau menyemai.
Kesimpulan bagi prasa penting tajuk yang diberikan adalah sebagai seorang guru yang berperanan untuk mengajar dan mendidik para pelajar di institusi sekolah apakah cara atau pendekatan yang telah guru jalankan bagi memastikan usaha-usaha menyerap dan menyemai minda kelas pertama di kalangan para pelajar. Usaha-usaha yang dijalankan bagi memastikan para pelajar akan sentiasa berkeinginan mencuba sesuatu yang baru dengan menggunakan inisiatif mereka dan segala yang kemudahan yang ada di sekolah untuk mencipta sesuatu inovatif serta menggunakan kemahiran secara kreatif dengan menitikberat kepada isu-isu semasa yang menjadi tumpuan utama semua pihak. Modal insan yang dikehendaki dikuasai oleh setiap pelajar ialah:
Mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi.
Berkebolehan bersaing dengan persaingan sengit globalisasi
Mampu berfikir secara kritis, kreatif, mencipta peluang baru dan mempunyai daya ketahanan berhadapan dengan persekitaran global.
Berpegang teguh kepada nilai murni, jati diri, berkeperibadian mulia dan menjadi pemimpin yang baik.
Untuk tujuan itu kita para pendidik hendaklah memastikan minda kelas pertama sentiasa dipupuk di kalangan anak didik kita. Sebagai pendidik ada banyak kaedah dan pendekatan yang boleh dilakukan untuk memupuk minda kelas pertama. Pendapat saya ini disokong oleh Mak Soon Sang (2007) Guru sebagai pendidik seharusnya mempelbagaikan kaedah dan strategi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan mempertingkatkan konsep kendiri di kalangan pelajar. Konsep kendiri ialah sebagai penilaian, pandangan, tanggapan, kepercayaan dan konsep kendiri ini mempengaruhi segala tingkah laku seseorang individu. Bagi seseorang yang mempunyai corak pemikiran minda kelas pertama adalah sangat dipengaruhi oleh kesedaran diri dan memfokuskan perubahan tingkah lakunya terhadap sikap ingin tahu yang tinggi dan mempunyai daya usaha yang tinggi dalam membentuk sahsiah dan keperibadian yang mulia. Bagi seorang pendidik matlamat menghasilkan pelajar minda kelas pertama seharusnya tertanam di dalam jiwa raganya sejak beliau mula bertugas sehinggalah ke akhir kerjayanya sebagai pendidik. Walau pun matlamat ini sangat sukar untuk dilihat hasilnya dalam jangka masa yang pendek tetapi perubahan tingkah laku yang ditunjukkan oleh pelajar akan mencerminkan sama ada matlamatnya tercapai atau tidak.
Kertas kerja ini akan membincangkan dua peringkat strategi yang boleh dilaksanakan di sekolah sebagai usaha memupuk minda kelas pertama dalam kalangan pelajar iaitu :-
(i) Strategi umum
(ii) Strategi khusus
Strategi Umum Memupuk Minda Kelas Pertama
Melalui Penghayatan Visi, Misi Sekolah
Visi sekolah adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh Dalam akan menjadi sekolah yang berperistasi cemerlang secara menyeluruh pada tahun 2010.
Misi Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh Dalam (SMKAPD)
1) Memimpin, mengurus, mentadbir sekolah dengan cekap dan berkesan
2) Melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum
3) Menerapkan nilai-nilai murni bagi melahirkan pelajar berilmu, beriman, beramal serta berakhlak mulia.
4) Mengilap dan memperkayakan potensi kokurikulum pelajar ke arah melahirkan pelajar yang berketrampilan.
5) Menyediakan persekitaran kodusif dan selamat
6) Mempertingkatkan permuafakatan antara warga sekolah dengan komuniti
Moto SMKAPD ialah ” Pekerti Mulia Menjana Kecemerlangan”
Matlamat SMKAPD ” Melahirkan pelajar yang berilmu, berpengetahuan tinggi, berakhlak mulia dan bertanggungjawab untuk mensejahterakan diri bagi menyumbang kepada kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
Progmpatram Perhimpunan pagi di sekolah saya dijalankan setiap hari. Hari Ahad adalah perhimpunan rasmi mingguan dan hari-hari lain adalah Tazkirah Pagi. Saya menggunakan medan perhimpuanan sebagai tempat untuk saya memberi taklimat, nasihat, meniupkan semangat, memberi motivasi dan membuat tegoran secara terus kepada pelajar.
Saya dan guru-guru SMKAPD diberikan mandat penuh untuk mengisi Tazkirah Pagi berpandukan kepada tajuk-tajuk yang telah disusun oleh pihak pentadbir. Guru hanya perlu mencari bahan dan membuat sedikit rujukan untuk mengisi kekosongan 15 minit sebagai santapan minda dan rohani anak-anak didik kita. Saya akan menggunakan kesempatan ini memupuk minda pelajar supaya lebih banyak berfikir dan selalu membuat musahabah diri.Antara tajuk yang pernah saya sampaikan ialah definasi dan maksud minda kelas pertama, modal insan yang ingin dibentuk oleh PIPP, cabaran masa kini para pelajar dalam menghadapi era dunia tanpa sempadan, kepentingan ICT dalam pembelajaran, minda pelajar cemerlang, rahsia kejayaan pelajar cemerlang dan rasa kekitaan.

Melalui Aktiviti dan Budaya Sekolah
Budaya sekolah atau iklim sekolah mengandungi empat aspek utama iaitu aspek fizikal (kebersihan bilik darjah, keselamatan warga sekolah, kemudahan dan infrastruktur, keselesaan, keindahan sekolah) , aspek sosial (hormat-menghormati, rasa tanggungjawab, bekerjasama antara warga sekolah, perpaduan, kemesraan, keadilan), aspek perkembangan intelek ( semangat ingin belajar dan budaya ilmu) dan aspek penggunaan bahasa (penggunaan bahasa secara betul dan bersopan). Sebagai guru yang bertugas secara mingguan saya juga adalah pemimpin sekolah yang sentiasa menjalankan pemantauan berterusan dari segi empat aspek utama yang dinyatakan sebelum ini terutamanya penekanan terhadap keselamatan pelajar, kesihatan pelajar, kebersihan kantin, adap makan, keceriaan kelas dan kebersihan sekitar sekolah.
Saya akan memastikan para pelajar akan sentiasa mematuhi peraturan sekolah kerana disiplin diri yang tinggi akan menjana minda cemerlang. Kerja buat saya ini adalah berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan (1979) telah mengariskan matlamat disiplin sebagai ” disiplin akan menjadikan seseorang pelajar itu sebagai manusia yang dapat memimpin diri sendiri dalam hidupnya di masa hadapan. Disiplin diri bagi setiap individu adalah mustahak dalam usaha mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang bertatasusila, bersatupadu, demokratik, adil, liberal dan progresif. Disiplin diri juga akan melahirkan individu-individu yang kreatif serta mempunyai kesedaran harga diri dalam masyarakat yang bergerak ke arah kemajuan”.

Sebagai seorang guru yang bermotivasi saya sentiasa sedar akan tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Saya menyedari bahawa tugas mendidik adalah tugas yang sangat mulia. Kesedaran ini telah memberi kekuatan kepada saya untuk terus menjalankan kerja dan mencurah bakti tanpa jemu. Apabila seseorang guru menyedari tanggungjawabnya, maka beliau akan
memberi pendedahan pelbagai kemahiran yang menarik. Sebagai salah seorang guru yang mengajar matapelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan Empat saya mendapati kandungan huraian sukatan pelajaran yang telah disenaraikan dalam mata pelajaran ini (dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima) adalah sangat bertepatan dan sangat bersesuaian untuk merealisasikan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama. Contohnya bab pertama bertajuk Wawasan Diri adalah tajuk yang mengajar pelajar untuk menghuraikan hala tuju diri dan meneliti matlamat dan wawasan diri. Mengenalpasti usaha-usaha cemerlang orang yang telah berjaya dan membentuk keperibadian mulia di dalam diri pelajar.

Melalui Penilaian Dan Pengukuran
Penilaian dan pengukuran yang berasaskan kepada autentik (situasi sebenar) adalah suatu kaedah yang baru diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kaedah ini adalah satu pendekatan yang lebih realistik berbanding dengan ”exam oriented” yang sedang di amalkan dalam sistem pendidikan kita sekarang. Pelajar kebiasaannya amat tertarik dengan aktiviti-aktiviti luar bilik darjah. Pembelajaran yang diperluaskan melampaui bilik darjah dan dibawa ke alam nyata dapat menimbulkan motivasi di kalangan pelajar. Aktiviti penilaian dan pegukuran bolehlah menggunakan kaedah projek atau pun penyelidikan contohnya ialah penulisan kerja projek untuk mata pelajaran Matematik Tambahan (Projek Taman Herba). Pelajar boleh menjalankan aktiviti samada secara berkumpulan ataupun secara individu. Guru akan membuat persiapan selengkapnya dan memberikan penerangan yang jelas untuk semua aktiviti yang dijalankan agar para pelajar benar-benar tahu peranan mereka dan guru akan memberi bimbingan yang secukupnya.

Sebagai seorang guru yang mengamalkan budaya kerja cemerlang saya berusaha meyediakan pengalaman yang bermakna kepada para pelajar dan pengalaman ini sepatutnya akan membawa kejayaan kepada diri mereka. Memang sukar bagi saya untuk menjamin kejayaan semua pelajar terutamanya jika di dalam bilik darjah itu terdapat perbezaan yang ketara dalam kebolehan dan tahap pencapaian pelajar. Tambahan lagi bagi sekolah saya adalah kategori sekolah luar bandar dan sekolah kecil (bilangan pelajar hanya 554 orang) hanya sebahagian kecil sahaja pelajar yang mempunyai kebolehan tahap tinggi. Lebih menyedihkan lagi apabila kebanyakan pelajar berpendapat kegagalan itu adalah suatu ancaman. Situasi ini merupakan cabaran yang saya harus tempuhi, dan kadang-kadang kegagalan tidak dapat saya dielakkan. Tetapi ia tidak menjadikan saya berputus asa untuk terus mencuba menerapkan pemupukan nilai-nilai murni dalam memupuk minda kelas pertama di kalangan pelajar dan seterusnya mengurangkan kadar kegagalan. Berikut adalah beberapa contoh tindakan yang saya ambil untuk mengatasi masalah perbezaan tahap pencapaian pelajar . Memberikan pelbagai bentuk soalan dan menyusun semula kaedah penilaian mengikut tahap pencapaian pelajar. Tindakan saya yang pertama untuk membantu pelajar yang berpencapaian rendah ialah cuba memudahkan perkara-perkara yang agak sukar difahami terutamanya semasa p&p berjalan, semasa melakukkan proses pengajaran saya telah mencerakinkan isi-isi kandungan yang baru dipelajari kepada langkah-langkah yang lebih mudah. Saya telah menggunakan perkataan-perkataan yang mudah difahami dan mengurangkan memberi soalan penyelesaian masalah yang terlalu abstrak. Untuk kumpulan pelajar yang tinggi kebolehannya saya menggunakan aktiviti pengkayaan. Tindakan seterusnya ialah semasa saya menyemak kerja-kerja tugasan pelajar, saya akan memberikan pujian yang sewajarnya.
Instrumen Pemeriksaan Peningkatan Standard Kualiti Pendidikan oleh Jemaah Nazir Sekolah adalah sumber yang saya gunakan untuk menghasilkan ”Headcount” bagi setiap mata pelajaran yang saya ajar terutamanya mata pelajaran Matematik Tambahan Tingkatan 5. Saya akan memberitahu kepada pelajar tahap pencapaian mereka dalam matapelajaran Matematik Tambahan dan di manakah kekuatan mereka sehingga mereka berjaya menguasai sesuatu topik yang sukar seperti tajuk pembezaan dan pengkamiran. Saya juga mendorong mereka dengan membantu bagaimana mereka boleh berjaya dan apakah langkah-langkah seterusnya yang mereka harus lakukan untuk mengekalkan kejayaan mereka.

Strategi Khusus Memupuk Minda Kelas Pertama
Melalui Contoh Teladan Guru
Tingkah laku guru adalah contoh teladan kepada para pelajar. Oleh itu guru haruslah mempunyai sifat-sifat terpuji yang boleh menjadi teladan kepada pelajar dan guru juga seharusnya mempunyai minda kelas pertama dalam pelakuan dan tindakan yang diambil. Sebagaimana yang kita ketahui tugas seorang guru tidak terhad kepada proses mengajar atau menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata. Tanggungjawab guru juga untuk memastikan pembentukan sahsiah termasuk pembentukan dan perkembangan dalam aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi supaya para pelajar akan menjadi insan yang berilmu pengetahuan, bermoral tinggi, harmonis dan seimbang. Pembentukan sahsiah ini adalah merupakan teras utama dalam pemupukan minda kelas pertama dalam kalangan anak didik di sekolah.

Sebagai Ketua Panitia mata pelajaran Matematik Tambahan saya menggunakan Borang Pemantauan dan Bimbingan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebagai instrumen pemantauan untuk memantau kerja rumah pelajar. Saya akan memastikan setiap pelajar saya akan menyelesaikan tugasan dan kerjarumah yang diberi. Inisiatif pelajar adalah diperlukan agar mereka sentiasa bersedia dan pandai membahagikan masa. Sikap ini sangat perlu disemai sejak dari bangku sekolah dan pemantauan yang berterusan hendaklah dijalankan dari masa kesemasa supaya pelajar tidak leka, jika kita ingin memupuk pelajar yang mempunyai minda kelas pertama.

Menerusi Aktiviti Kurikulum dan Proses P&P
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah adalah merupakan tugas utama pendidik bagi meningkatkan keupayaan, minat dan bakat murid bagi menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran.Di peringkat sekolah aktiviti kurikulum telah dikaji semula bagi memastikan asas yang kukuh dalam pembangunan kompetensi teras dan bersesuaian dengan keperluan yang sentiasa berubah. Antaranya kerajaan telah memperkenalkan konsep pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dengan bertujuan untuk menambah baik penguasaan bahasa Inggeris sebagai penambah nilai modal insan di taraf antarabangsa ,meningkatkan kemahiran pedagogi dan membolehkan penggunaan ICT yang lebih meluas dalam bidang pendidikan. Tugas mengajar di dalam kelas adalah suatu perkara yang sangat mencabar, Tugas mengajar ini akan menjadi suatu usaha yang membosankan jika guru hanya mengunakan satu kaedah pengajaran sahaja. Sebagai usaha untuk memupuk minda kelas pertama di kalangan anak-anak didik, saya mengunakan beberapa kaedah untuk memupuk perasaan ingin tahu dan memberi fokus kepada p&p guru.

Di antaranya kaedah ”role-play” atau main peranan. Aktiviti main peranan adalah satu aktiviti yang sangat digemari oleh para pelajar. Guru tidak perlu menyediakan skrip yang lengkap, hanya memadai jika guru membincangkan situasi yang akan berlaku, watak-watak yang terbabit dan reaksi setiap watak dalam situasi yang diwujudkan. Sebagai contoh dalam mata pelajaran Biologi bab Koordinasi dan Gerak Balas ( Homeostasis dalam Manusia) aktiviti melakonkan aksi seorang doktor yang sedang mendiagnosis penyakit dan aksi seorang pesakit memberitahu simptom-simptom penyakitnya akan merangsang perbincangan berkaitan dengan jenis-jenis penyakit dalam mata pelajaran Biologi saya. Pelajar sangat seronok menjalankan aktiviti ini dan secara tidak langsung sebenarnya pelajar saya telah menggunakan semua pengetahuan dalam tajuk yang dipelajari untuk membina skrip yang bersesuaian. Dengan cara begini sebenarnya saya telah memupuk perasaan ingin tahu dan memastikan pelajar mempunyai inisiatif untuk mencari isi-isi penting bagi tajuk yang telah dipelajari.
Teknik pengajaran : guru menyoal pelajar menjawab: pelajar menyoal guru menjawab. Teknik ini adalah merupakan bentuk penglibatan pelajar yang paling lazim berlaku di dalam bilik darjah. Aktiviti ini sangat tinggi nilainya jika dapat dikendalikan dengan betul. Saya akan mengendalikan prosedur ini dengan cara yang betul supaya dapat merangsang minda pelajar dan memberi fokus kepada topik perbincangan. Contohnya bagi mata pelajaran Matematik Tambahan setiap soalan yang saya kemukakan saya akan kemukakan kepada seluruh kelas dengan tujuan semua pelajar perlu menumpukan perhatian kepada soalan saya dan setiap pelajar terpaksa memikirkan jawapan kerana tiada seorang pun tahu siapa yang akan disuruh menjawab. Saya akan sentiasa memberikan masa seketika sebelum mempelawa pelajar menjawab soalan tersebut. Pelajar diminta menuliskan jawapan untuk soalan yang diberi di papan putih. Dengan cara memanggil nama pelajar dan bergerak ke hadapan kelas saya dapat membina sikap yakin pada diri sendiri dalam diri pelajar saya. Dengan kaedah ini proses pembelajaran berlaku sepanjang masa dan semua pelajar bersama-sama sentiasa bersedia dengan pengajaran saya dan secara tidak langsung saya telah memupuk sikap pelajar untuk memberi tumpuan yang penuh semasa proses p&p berlangsung. Saya juga boleh mendapatkan refleksi untuk objektif pada hari tersebut. Kaedah ini sebenarnya membantu pelajar meningkatkan daya ingatan mereka terutama untuk fakta atau konsep yang sukar dan susah. Ciri ini sangat penting dipupuk dari masa kesemasa untuk membentuk pelajar minda kelas pertama.

Melalui Aktiviti Kokurikulum dan Program RIMUP
Aktiviti kokurikulum yang pelbagai dan mencabar adalah merangkumi aspek-aspek khidmat masyarakat, rekreasi, kebudayaan, khidmat sosial, persatuan, kelab dan sukan serta permainan. Melalui pelbagai aktiviti ini kurikulum formal dan pengalaman amali sebenar dapat dikukuhkan dan diperluaskan. Semasa aktiviti dilaksanakan nilai-nilai murni dapat dipupuk secara langsung dan ciri-ciri minda kelas pertama dapat dipupuk dengan mudah di kalangan pelajar. Program RIMUP untuk integerasi murid dan perpaduan juga boleh dijalankan di bawah perancangan aktiviti kokurikulum.

Untuk menarik minat semua pelajar guru haruslah mempelbagaikan aktiviti yang dijalankan samada di dalam bilik darjah ataupun aktiviti di luar bilik darjah. Ini membolehkan setiap pelajar mendapat peluang untuk menikmati jenis-jenis aktiviti yang disukainya. Aktiviti-aktiviti itu juga haruslah memberikan sedikit cabaran kepada pelajar supaya mereka sedar bahawa mereka telah menunjukkan tahap kemajuan dalam pencapaian kokurikulum dengan inisiatif mereka sendiri setiap kali mereka menyempurnakan tugasan.

Penyertaan pelajar secara aktif dalam kegiatan kokurikulum, seperti badan beruniform, persatuan dan kelab serta sukan, adalah penting dalam membantu pembentukan sahsiah dan membina kualiti kepimpinan pelajar. Bagi memastikan bahawa setiap pelajar mendapat peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum maka guru hendaklah merancang setiap aktiviti secara terperinci. Contoh perancangan yang telah saya lakukan ialah menjalankan Perkhemahan Perdana Pasukan Puteri Islam. Sebelum menjalankan sesuatu program saya akan menyediakan kertas cadangan yang mengandungi tajuk program,rasional, objektif ataupun matlamat yang hendak dicapai, kumpulan sasaran, tarikh dicadangkan, menyediakan senarai aktiviti yang akan dilaksanakan, menyediakan senarai ahli jawatankuasa yang bertugas, anggaran belanjawan, jenis peralatan yang akan digunakan dan senarai semak untuk tujuan pemantauan. Tugasan menyiapkan kertas kerja ini saya lakukan bersama-sama pelajar dengan bertujuan untuk membimbing pelajar supaya mereka pandai membuat perancangan, jangkaan dan memikirkan matlamat yang hendak dicapai. Di samping itu saya akan membantu pelajar menguruskan aktiviti tersebut. Ini adalah antara usaha-usaha yang saya pupuk untuk membentuk pelajar minda kelas pertama dengan menitik beratkan perasaan bertanggungjawab dan kesedaran kendiri untuk berjaya tanpa bergantung kepada guru semata-mata.

Pelajar perlu dipupuk ”soft skills” dan kemahiran seperti berkomunikasi, keyakinan diri, berani, daya kepimpinan di sekolah melalui aktiviti ”public speaking” Mengadakan pelbagai jenis pertandingan dengan bertujuan menarik minat pelajar untuk menggunakan masa terluang dengan lebih berfaedah dan dengan ini gejala sosial yang tidak sihat akan dapat dikurangkan. Memupuk semangat perpaduan juga perlu disemai di peringkat akar umbi seperti organisasi sekolah kerana negara kita terdiri daripada berbilang kaum.
Pelajar-pelajar dipupuk agar mempunyai jati diri tinggi dan langkah ini boleh disemai melalui program kebudayaan, lagu rakyat, muzik , tarian dll. Pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman yang menarik dan memupuk sikap ingin tahu dan membina pelajar untuk membina daya usaha. Sikap ingin tahu akan mendorong seseorang pelajar sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuannya. Pelajar akan selalu cuba menyesuaikan diri dengan kehendak ibu bapa, guru, rakan dan masyarakat sekitarnya. Guru hendaklah sentiasa peka kepada keperluan dan minat pelajar. Di antara aktiviti yang telah saya jalankan ialah menggalakkan pelajar menyertai pelbagai pertandingan yang di anjurkan oleh pelbagai agensi contohnya pertandingan reka cipta , aktiviti mencari doktor muda, pertandingan melancarkan roket dan Program ”F1 Technology Challenge and Robotic”. Pertandingan ini sangat memberi faedah kepada para pelajar kerana ia membantu pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif serta mempunyai daya inkuiri yang tinggi.

Melalui Penerapan Nilai murni
Salah satu daripada ciri minda kelas pertama ialah fokus. Ada banyak cara yang boleh digunakan oleh seseorang pelajar untuk mefokuskan fikiran serta menumpukan minda ke satu matlamat yang hendak dicapai. Salah satu aktiviti yang sangat baik disemai di kalangan pelajar ialah tabiat suka membaca. Membaca merupakan satu aktiviti masa lapang yang sangat berfaedah. Jika dirujuk maksud membaca, didalam kamus dewan edisi keempat,membaca memberi erti sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Ini membawa maksud kepada mendalami ilmu pengetahuan dengan cara memahami sesuatu yang tertulis atau tercetak, samada buku, bahan ilmiah, majalah, ataupun surat khabar serta lain-lain lagi bahan bacaan. Sehubungan itu juga, kita seharusnya bijak dalam memilih bahan bacaan yang dapat memberikan informasi, fakta serta faedah kepada diri kita. Pihak kerajaan juga telah banyak mengadakan aktiviti-aktiviti bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan amalan mulia ini. Antara aktiviti – aktiviti yang terlibat adalah seperti perpustakaan bergerak, kempen membaca, pertandingan NILAM dan lain – lain lagi. Pemupukan nilai murni dan kebiasaan memberi penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan kesungguhan memajukan diri atas inisiatif diri sendiri adalah sangat wajar.

Sebagai seorang pendidik saya sentiasa menerapkan tabiat suka membaca di kalangan anak didik saya sebagai persiapan mental untuk menghadapi cabaran globalisasi. Secara tidak langsung sebenarnya saya telah merangsang minda pelajar supaya mempunyai daya ingatan yang baik. Daya ingatan yang baik sangat penting untuk memastikan para pelajar dapat memberi tumpuan atau fokus yang tidak berbelah bagi dan memastikan mereka tidak akan ketinggalan sebarang isi-isi penting semasa proses p&p berjalan.



Rumusan dan Penutup
Pendidikan adalah satu bidang yang memainkan peranan amat penting dalam menyediakan negara dengan modal insan berkualiti yang memiliki sahsiah terpuji
Manusia yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi serta mampu berfikir secara kritis, kreatif, mencipta peluang baru dan mempunyai daya ketahanan berhadapan dengan persekitaran global. Mereka juga hendaklah mempunyai kebolehan bersaing dengan persaingan sengit era teknologi dan globalisasi. Mereka mesti berpegang teguh kepada nilai murni, jati diri, berkeperibadian mulia dan boleh menjadi pemimpin masa depan yang baik.
Pemupukan nilai-nilai adalah penting dalam membentuk minda kelas pertama, kerana ia menentukan hampir segala corak kehidupan , sama ada dalam masa kini ataupun masa depan. Hampir segala keputusan dan tindakan seseorang pelajar diambil berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan ke atas kebolehan, potensi, pengetahuan, bakat, kepercayaan, kecekapan dan sikapnya. Pertimbangan inilah adalah unsur-unsur persepsi berlandaskan nilai-nilai diri sendiri. Saya juga boleh mengatakan bahawa perkembangan kendiri boleh disamakan sebagai perkembangan potensi diri dari segi intelek,rohani, sosial dan jasmani. Usaha mengembangkan potensi diri bukan sahaja banyak bergantung kepada sikap positif individu tetapi ia juga bergantung kepada ”skill” tertentu seperti kemahiran belajar, kemahiran berfikir, kemahiran bersosial, kemahiran komunikasi serta kemahiran menangani masalah.

Cabaran pembinaan modal insan juga terletak sebahagian besarnya di kalangan pendidik kerana para pendidiklah yang terlibat secara langsung dengan dunia pendidikan dan latihan untuk mengembangkan potensi, bakat dan kualiti seseorang murid atau pelajar. Antara tugas penting warga pendidik dalam membangunkan modal insan ialah membentuk personaliti unggul dalam membina kepimpinan yang kental. Maka cabaran pendidik ialah meyemai dan memupuk benih nilai murni ke arah pembentukan personaliti unggul. Untuk tujuan itu perancangan yang rapi harus direncanakan bagi merealisasikan impian tersebut. Personaliti unggul inilah bakal diterjemahkan oleh pelajar minda kelas pertama melalui peribadi mulia, mempunyai sifat amanah, menunjukkan ciri kepimpinan yang utuh serta berdisplin dalam setiap tugasan yang dijalankan.












BIBLIOGRAFI
Berita Harian. 4 April : 4.2001 :
http://www.berita harian malaysia /pendidikan
Carr, W and Kemmis,S. (1986). Becoming Critical Education, Knowledge and
Action Research. Falmer Press, London
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman. (2004). Tuntas. Alor Star : Percetakan Ustaras.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2007). Pelan Induk Pembangunan
pendidikan 2001-2010. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia
Maznah Raja Hussain (1992). Pengurusan Sekolah Menengah Abad 21: Satu
Ramalan. Prosiding Seminar Nasional Ke-2: Pengurusan Pendidikan.
Kertas Kerja 21.
Mok Soon Sang (2007). Kursus Penilaian Tahap Kecekapan (P&P).Cipta Print.
Publishing (M) Sdn Bhd. Ipoh.
Richardson, V. (1994). Teacher change and the staf development process. New
York: Teachers College Press.
Smith, M.K. (1996;2000). “Action Research” the encyclopedia of informal education:
http://www.infed.org/research/b.actres.htm.
Stenhouse, L.(1975). Introduction to curriculum research and development.
London: Heinemens.

No comments:

Post a Comment